Saturday, February 6, 2010

Minda dan Ketuhanan

Adalah menjadi satu kesalahan jika anda meletakkan kekuatan dan kehebatan kuasa minda semata-mata. Sebagai orang Islam, saya nyatakan di sini, bahawa, tidak akan bergerak walau satu zarahpun tanpa keizinan ALLAH SWT. Jadi, kuasa minda kita adalah merupakan anugerah Illahi. Sebab itulah, janganlah ada rasa tinggi diri apabila anda sudah berjaya menguasai ilmu kuasa minda separa sedar. Sebagai makhluk ciptaan ALLAH SWT, semua kehebatan dan kelebihan yang ada pada diri kita, adalah pemberianNya. Ramai dikalangan pengamal kuasa minda dan kebatinan tidak berpegang teguh kepada kekuasaan ALLAH SWT. Mereka lupa dan alpa pada Yang Maha Mencipta. Mereka sudah mula sombong dan bongkak, lupakan asal-usul diri mereka dan tidak mahu merendahkan diri. Apalah salahnya jika sentiasa berkata aku hanyalah hamba ALLAH. Fahamilah baik-baik, setiap kulit, tulang, daging dan urat pada diri ini, semuanya milik ALLAH. Jadilah seperti seperti resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk ke bumi. Ingatlah, orang yang paling takut kepada ALLAH, adalah orang yang semakin tinggi ilmunya. Ular menyesuri akar takkan hilang bisanya. Ular tetap ular dan akar tetap akar. Ular ada bisanya. Akar tetap berdiam dan tak ada bisa. Namun, bila ular menyesuri akar, ular nampak macam akar.