Sunday, March 10, 2013

DAYA UPAYA

Nukilan ini saya tatapkan untuk semua peminat blog saya dan semua yang pernah berkursus dengan saya. Persoalan yang saya coretkan ini melibatkan kepada DAYA UPAYA. Sebagai makhluk ALLAH, kita hendaklah berada dalam kondisi Tiada Daya Upaya atau pada titik kosong. Dengan perkataan lain, hancurkanlah diri, leburkanlah diri, matikanlah diri dan dengan itu barulah terzahirnya daya kekuatan ALLAH S.W.T. Tidak kira sehebat mana seseorang itu, sesakti mana seseorang itu, jika tidak mengosongkan upaya diri, maka, syiriklah akidahnya. Sesungguhnya, tidak melata dilangit dan bumi tanpa dengan IZIN ALLAH. Takkan bergerak walau satu zarah tanpa dengan IZIN ALLAH. Begitu juga dengan kesaktian yang dilimpahkan kepada kita sebenarnya milik ALLAH dan bukannya milik kita. Kita tiada apa-apa. Kita adalah kosong. Sewaktu beramal, hancurkanlah diri dan upaya dan rasakanlah bahawa segala  gerak dan diam semuanya daripada ALLAH S.W.T. Itulah makna bagi lafaz LAILAHA...................(nafi) dan ILLALLAH (isbat). Maka, nafikanlah setiap gerak dan diam serta isbatkan kepada ALLAH. Dengan itu, dalam setiap amalan yang dilakukan itu, anda tidak akan bergantung kepada KHODAM dan anda terus berhubung dengan ALLAH S.W.T. Peliharalah TAUHID anda umpama menjaga nyawa anda sendiri. Jika tauhid terjaga, nescaya bahagia dunia dan bahagialah akhirat. Jangan melihat makhluk pada kacamata zahir tapi lihatlah lakuan ALLAH pada kacamata batin. Tauhidkanlah setiap inci anggota luar dan dalam, zahir dan batin anda. Apabila tauhid terpelihara, setiap amalan mendapat sokongan padu ALLAH. Sebenarnya, kejayaan dalam beramal bukan bergantung kepada sebanyak mana anda beramal, tapi, bergantung kepada setakat mana anda bertauhid, mati diri, hancur diri, bertidak upaya, lebur diri dan berisbat kepada lakuan ALLAH (af'alullah).